AWAN PELIK

AWAN PELIK
KUASA ALLAH

Assalamualaikum...

welcome to my blog
"DEMI MASA .SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU BENAR-BENAR BERADA DALAM KERUGIAN,
KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL SOLIH DAN NASIHAT MENASIHATI
SUPAYA MENTAATI KEBENARAN DAN NASIHAT MENASIHATI SUPAYA MENETAPI KESABARAN"
AL-'ASHR(MASA)

Monday, August 31, 2009

Perutusan Kemerdekaan DSAI - Semangat Kemerdekaan Menyanggah Perhambaan dan Membina Keyakinan Baru

Apabila mendekati tarikh 31hb Ogos, ingatan kita akan mengimbas kembali rentetan peristiwa dan perjuangan rakyat yang berkemuncak dengan Kemerdekaan. Tarikh tersebut terungkap sebagai tarikh keramat ,menjanjikan kebebasan daripada cengkaman penjajah dan menyelamatkan martabat hidup rakyat.

Persoalan yang menerjah kita semua ialah; bagaimana kita menghayati makna tarikh tersebut hari ini. Pergulatan ini menjadi penentu kepada persoalan makna diri kita sebagai rakyat Malaysia.Tekad baru untuk memahami makna diri Malaysia sebagai bangsa merdeka juga menuntut kita untuk memahami bagaimana kita menjadi tidak merdeka; bagaimana kita hilang kemerdekaan sebelum kita memperolehinya kembali.

Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus bertanya warga Kota Rom “siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba ?” Ceasar mahu memiliki kuasa yang tidak terbatas. Nafsunya sebegitu besar dan mahu memastikan Rom dalam genggamannya.

Pertentangan antara Brutus dengan Ceaser adalah pertentangan antara kebebasan menentang nafsu kekuasan tidak terbatas. Sejak negara kita merdeka kita masih bergelut dengan pertentangan ini. Kebebasan – kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan institusi kehakiman sentiasa mahu disekat oleh penguasa. Oleh itu kita menginsafi hanya bangsa yang pernah melalui gelita penjajahan akan mengerti makna cahaya kemerdekaan. Bagitu juga, hanya diri yang pernah kebebasannya diragut akan menghargai nilai kebebasan.

Syarahan Perdana Professor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas yang berjudul Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu juga menghuraikan dengan panjang lebar peranan paksi tauhid sebagai aqidah menambat keyakinan baru yang menolak faham tahyul dan perhambaan, seterusnya menjadi pelantar kepada pemikiran yang berakar dengan tradisi aqliyah dan mencernakan budaya segar dengan bahasa Melayu sebagai pertuturan kepustakaan(lingua franca) rantau ini. Ratusan tahun berlalu yang sewajarnya tambah memperkukuh dan memantapkan semangat dan keyakinan baru tersebut.

Cantik sungguh puteri Palembang,
Sayang bersunting bunga pudak;
Betapa keras dilambung gelombang,
Kucacak tiang, kulayar jua.

Manakala melangkaui separuh abad kemerdekaan, kita rakyat Malaysia sewajarnya mempunyai kesedaran betapa Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa pasar, bahasa komunikasi basahan untuk berjual beli. Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa tamadun dan bahasa untuk mengungkapkan pengalaman kemanusian yang paling mendalam dan luhur. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa intelektual dan kerohanian untuk umat Islam, makanya Bahasa Melayu juga seharusnya menjadi bahasa intelektual dan kerohanian umat Budha, Hindu, Kristian dan lain-lain keyakinan.

Bahasa Melayu yang saya sebutkan di sini bukanlah bahasa milik orang Melayu semata-mata. Bahasa Melayu adalah milik rakyat dan bangsa Malaysia yang berketurunan Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak dan lain-lain. Bahasa Melayu adalah milik semua rakyat Malaysia.

Kemerdekaan mestilah tidak terperangkap dengan bahana dari politik sempit dan kelam sesebuah parti politik tertentu. Kemerdekaan perlu di lihat dari perspektif rakyat keseluruhannya ; perjuangan pelbagai kaum, menggunakan pelbagai wadah, dan melibatkan pelbagai aliran pemikiran. Sejarah ternyata mengajar kita bahawa Perjuangan Menuntut Kemerdekaan menerbitkan kesatuan semangat untuk menentang penjajah dan imperialisme Barat ketika itu.

Generasi terdahulu yang sama-sama berjuang untuk kemerdekaan, dan mereka yang menempuh zaman mudanya di masa awal kemerdekaan menjadi saksi kepada kepelbagaian aliran dan wadah perjuangan rakyat. Tetapi penulisan sejarah kemerdekaan yang disampaikan kepada generasi hari ini masih belum berlaku adil kerana fakta yang bercampur propaganda. Ini merupakan beban dan tanggungjawab kepada ahli-ahli sejarah kerana tanpa pensejarahan yang adil, kita tidak akan dapat melihat dan menemui makna dan rupa diri bangsa kita yang sebenarnya. Nama pejuang kemerdekaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Mat Salleh, Panglima Rentap dan Rosli Dhobi tidak sewajarnya digelapkan dari sejarah menuntut kemerdekaan.

Kemerdekaan adalah untuk kebebasan dan keadilan. Inilah yang dijanjikan kepada kita pada 31 Ogos 1957. Sekiranya kita mahu berdegil untuk meneruskan saki baki peninggalan feudal, atau mahu memperkokohkan lembaga-lembaga sistem otoritarianisme, sudah pasti kita menjadi bangsa yang terpinggir. Bangsa Malaysia tidak miskin dengan sumber daya manusianya. Dengan paras pembangunan yang telah dicapai dan kekayaan yang kita miliki Malaysia boleh menjadi negara yang besar. Dan kita perlu yakin bahawa Malaysia boleh menjadi bangsa yang besar. Tetapi kita tidak boleh menjadi bangsa yang besar sekiranya rakyatnya tidak bebas dan merdeka.

ANWAR IBRAHIM

Kepala Lembu - konotasi berbeza boleh cetus perbalahan kaum

Arak kepala lembu bantah pindah kuil
Jimadie Shah Othman
Ogos 28, 09
12:29pm
kemaskini 6.55pm Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka.

Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi.

Mereka berarak sebagai menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.

Polis hanya memerhati

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.

"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."

Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.

"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."

Dihubungi Malaysiakini selepas demonstrasi itu, Mahyuddin menafikan kepala lembu itu dibawa oleh penganjur.

"Bukan kehendak kita. Kita pun terkejut tadi," katanya.

Tidak hina Hindu

Mahyuddin menolak tanggapan mereka ingin menghina agama Hindu yang menganggap lembu sebagai binatang suci.

"Mungkin yang mereka (yang bawa) maksudkan dengan kebodohan. Dalam budaya Melayu, lembu ini simbol kebodohan, pemimpin yang bodoh," jelasnya (foto bawah).

Kelmarin, Dr Xavier dilaporkan meminta penduduk seksyen itu menimbang semula bantahan mereka terhadap keputusan kerajaan memindahkan kuil ke kawasan itu.

Beliau dipetik berkata, kerajaan negeri bercadang memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau.

Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut.

Sebelumnya, kuil di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 kerana kedudukannya terlalu rapat dengan kawasan kediaman.

Keputusan ini dibantah oleh sekumpulan penduduk Seksyen 23 dengan alasan mereka beragama Hindu hanya minoriti di situ.

Kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 Shah Alam.

'Khalid, Rodziah pengkhianat'

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kemarahan penduduk terhadap cadangan pembinaan kuil itu melimpah ke sekitar kawasan luar pejabat Rodziah, juga ADUN PKR bagi Batu Tiga, yang terletak di Seksyen 23.

Dinding dan saluran paip diconteng perkataan merah "Khalid, Rodziah pengkhianat bangsa", "bantahan kuil" serta "jangan main gila" dan perkataan hijau pula "jangan main api".

Khalid, seperti kenyataan di blognya hari ini, menyalahkan penyokong Umno atas perbuatan tersebut dan menggesa mereka membasuh sendiri dinding tersebut.

"Kalau Umno tahu malu, basuh sendiri dinding yang diconteng," katanya.

Tambahnya, beliau percaya Umno adalah dalang utama dalam kegiatan ini walaupun ada juga orang PAS yang terbabit kerana berjaya diapi-apikan Umno.

"Walaupun mereka (Umno) menafikan tetapi saya tahu ini kerja mereka. Ini semua permainan politik Umno," katanya.

"Kalau mereka memahami soal undang-undang, sistem demokrasi dan sebagainya mereka tidak akan bertindak sedemikian.

"Saya juga meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) biarkan sahaja tulisan itu di situ kerana kita tidak ada masa untuk membuang dan membersihkan kerja bodoh yang dilakukan mereka."

Sunday, August 30, 2009

Ulasan Khalid Samad Berhubung Kuil Seksyen 19

Memandangkan persoalan kuil Seksyen 19 yang ingin dipindahkan telah menjadi isu Nasional, saya sertakan di sini peta-peta yang menunjukkan kedudukan lokasi-lokasi yang relevan berhubung persoalan ini. Oleh yang demikian, tuan-tuan boleh menilai sendiri samada tapak cadangan di Seksyen 23 adalah wajar atau sebaliknya.


[PETA 1 - Seksyen 19,20,22 dan 23]

Peta pertama menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22 dan 23 serta kedudukan kuil di Seksyen 19, tapak cadangankan asal oleh BN di Seksyen 22 dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa Seksyen 22 merupakan kawasan Industri berat (berwarna gelap) tanpa adanya rumah berhampiran sepertimana peta yang kedua. Dakwaan Seksyen 22 adalah kawasan majoriti masyarakat India adalah dakwaan palsu.

[PETA 2 - Seksyen 22]

Peta ketiga menunjukkan ‘close-up’ Seksyen 19 dan bagaimana Kuil berkenaan dikelilingi rumah. Jarak di antara rumah terdekat dan Kuil adalah lebih kurang 20 kaki iaitu selebar jalan.

[PETA 3 - Seksyen 19]


View Larger Map
Peta keempat adalah ‘close-up’ lokasi di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa kedudukan yang dicadangkan adalah dipinggir kawasan Industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke Kuil adalah 200 meter atau 600 kaki iaitu 30 kali lebih jauh dari di Seksyen 19. Begitu juga dengan jarak dari tapak cadangan kuil ke surau. Di antara rumah dan kuil terdapat dewan orang ramai dan taman permainan kanak-kanak. Di antara Surau dan kuil adalah rumah pencawang TNB dan taman permainan kanak-kanak yang sama.

[PETA 4 - Seksyen 23]


View Larger Map
Mungkin bagi orang-orang tertentu tiada bezanya di antara Seksyen 19 dan 23. Kedua-duanya kawasan majoriti ummat Islam. Namun harap maklum, Kuil Seksyen 19 dipindahkan BUKAN kerana Seksyen 19 merupakan kawasan majoriti ummat Islam. Ia dipindahkan kerana Kuil tersebut berada di depan rumah orang (20 kaki). Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini menyebabkan kesesakan berlaku apabila pihak Kuil mengadakan upacara mereka.

Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini disebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Related Posts by Categories

Friday, August 28, 2009

Selamat Tinggal KPM, Selamat Bersara - RPK

Friday, August 28, 2009
Artikel asal oleh RPK. source - Malaysia-Today.net

Ketua Polis Negara sepatutnya tamat tempoh perkhidmatannya (bersara) pada September 2007. walau bagaimanapun, Kerajaan pimpinan Dollah Badawi telah melanjutkan tempoh persaraan KPM selama 2 tahun lagi. tempoh tersebut akan berakhir pada September 2009. kami mendapat maklumat bahawa kontrak persaraan KPM akan dilanjutkan lagi oleh Pimpinan Kerajaan sekarang.

Ini bermakna, taukeh-taukeh besar, along-along (mungkin juga para kongsi gelap) akan terus menguasai PDRM, mereka akan terus berkuasa untuk menentukan mana-mana pegawai yang akan dipindahkan, mendapat kenaikan pangkat, dijatuhkan atau dihumban kedalam penjara.

Ya..! mereka juga berkuasa untuk menghumbankan mana-mana pegawai polis yang tidak mahu bekerjasama dengan mereka dan hari ini, kami paparkan beberapa dokumen sebagai bukti atas apa yang berlaku.

*Kebanyakan nama-nama dan maklumat yang terdapat dalam dokumen dibawah terpaksa dipadamkan dari pengetahuan umum untuk melindungi pemberi maklumat.
http://lh5.ggpht.com/_G4UF_wN334k/SpfJ8mOTWtI/AAAAAAAAOsI/y3GoYDhwYV0/s800/attach1.jpg

Wednesday, August 26, 2009

Adun Lunas Gugur Adun Kulim Lantik

Sultan Kedah memperkenankan ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lalu, digugurkan daripada jawatan exco Kedah, berkuatkuasa semalam dan digantikan oleh ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee.
Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di Alor Star hari ini.

Ahad lalu, Mohd Radzhi yang juga exco pelancongan, pembangunan masyarakat dan sumber manusia, mengumumkan keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti itu.

Sementara itu, Azizan berkata majlis angkat sumpah pelantikan Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan exco yang kosong itu, akan diadakan minggu depan.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawai-pegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Pada 24 Ogos, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain.

Azizan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sama ada akan melakukan penambahan atau perubahan portfolio exco berkenaan.

"Buat sementara, saya akan pegang portfolio itu (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia), sebelum majlis angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pemilihan Lim untuk menggantikan Mohd Radzhi dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan antara Menteri Besar dan Penasihat parti itu.

Katanya, pemilihan Lim juga mengambil kira faktor geografi kedudukan Lunas yang terletak berhampiran dengan Kulim.

KENANGAN MENGUSIK JIWA

http://media1.malaysiakini.com/205/bb276cf0d2ba01e653e976b8a4ab8241.jpg

Kartun-kartun dari Gedung Kartun

http://media1.malaysiakini.com/205/e7b51f7bb71e25e0e47c15b9ef4faee0.jpghttp://media1.malaysiakini.com/207/3955994f4f98496498e300a10b1a568c.jpghttp://media1.malaysiakini.com/207/03fbaeeca33fac128b03ef28b9af4af6.jpghttp://media1.malaysiakini.com/207/696dc4201990c6bdc4582229f19e64c3.jpghttp://media1.malaysiakini.com/205/d0cd3505dc087d8b2f734aa4f41e44e9.jpg