02 September, 2013
Selepas 15 Tahun Di Pecat, Anwar Positif Pandang Masa Depan
![]() |
PKR tertubuh sebagai parti politik di Malaysia selepas kejadian 2 September 1998 |
Pada 2 September 1998, kira-kira 15 tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar)
masuk ke pejabat sebagai orang nombor dua paling berkuasa di Malaysia,
tetapi pulang beberapa jam kemudian selepas dipecat daripada jawatan
timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Selepas bebas seketika, Anwar ditangkap, dilokap, dibicara dan seterusnya dipenjarakan.
Pada hari beliau dipecat, pelbagai golongan termasuk presiden PAS pada ketika itu, Datuk Dr Fadzil Mohd Nor berkunjung ke rumahnya di Bukit Damansara untuk memberikan sokongan moral.
Hampir setiap hari sejak hari itu, rumah beliau penuh dengan pelbagai
jenis manusia. Peguam, wartawan, diplomat asing dan rakyat biasa
berkumpul di rumah itu.
Masih teringat, beberapa hari selepas itu pada 20 September, rumah beliau dipecahkan oleh polis untuk menangkapnya.
Selepas ditangkap, timbul kisah mata lebam yang kemudiannya disahkan
oleh suruhanjaya siasatan bahawa ia dilakukan oleh Ketua Polis Negara
pada ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.
Anwar kemudiannya diajukan dengan pelbagai penghinaan dan siksaan kepada
dirinya, keluarga dan anak sama ada melalui ucapan pemimpin negara dan
laporan media.
Akibat rentetan kejadian itu, pemimpin politik khasnya daripada
pembangkang dan NGO bergabung tenaga di bawah kepimpinan Fadzil Noor dan
seterusnya menubuhkan Gerakan Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai
Gerak.
Sejak hari itu sehingga hari ini politik Malaysia tidak pernah sunyi .
Apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada apa yang terjadi pada 2
September, 15 tahun lalu.
Sudah dua penggal berturut-turut kerajaan Barisan Nasional (BN) hilang
kuasa dua pertiga undi dalam Dewan Rakyat. Dalam pilihan raya umum ke 13
(PRU13) baru-baru ini, 52 peratus rakyat menyokong Pakatan Rakyat (PR)
berbanding BN yang disokong 47 peratus pengundi negara ini.
Kerajaan BN yang dibentuk juga dilihat tidak stabil. Ada sahaja isu yang
melanda. Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas
menteri kewangan Tun Daim Zainudin dilihat mempunyai pengaruh besar
walaupun tidak berkuasa.
Ekoran itu timbul cerita cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara BN dengan PR sebagai jalan penyelesaian konflik ini.
Wartawan The Malaysian Insider menemui Anwar untuk mengimbas kembali
saat itu dan kesannya ke atas politik Malaysia sehingga hari ini.
Berikut adalah sedutan daripada temubual itu.
The Malaysian Insider: Pada 2 September ini genaplah 15 tahun Datuk Seri
dipecat daripada kerajaan. Apa yang berlaku hari ini hasil dari
kejadian 15 tahun lalu. Apa komen Datuk Seri terhadap apa yang berlaku
sekarang?
Anwar: Saya Alhamdulillah. Saya ingat saat derita itu ke atas saya,
Azizah dan keluarga serta teman-teman. Saya syukur Alhamdulillah kerana
ia tidak mengganggu ketenteraman jiwa saya dan tidak rasa benci kepada
orang yang menganiaya saya.
Saya bersyukur kerana Allah beri ruang kepada saya untuk melakar sesuatu
dan memilih teman yang setia, khasnya arwah Datuk Fadzil Noor, dan
sekarang PAS dengan Ustaz Hadi dan Kit Siang bersama DAP serta Dr Syed
Husin serta teman lain. Saya kira saya mahu melihat ke depan.
The Malaysian Insider: Selepas 15 tahun mencuba, Datuk Seri belum
berjaya mengubah kerajaan. Apa ini menjadi faktor cakap-cakap mengenai
kerajaan perpaduan?
Anwar: Pertama tidak benar ia tidak berjaya. Bulan lalu saya ke
Istanbul, Turki dan berjumpa dengan pemimpin dari Syria, Mesir termasuk
Sheikh Ghanusi dari An Nahdah Tunisia. Kata Ghanusi:”Anwar, tidak ada
dalam mana-mana negara berhadapan dengan sistem yang menekan,
mencatatkan satu kejayaan, tidak ada. Kalau ada pilihan raya semuanya
ranap.” Daripada segi itu, Alhamdulillah saya capai satu kejayaan besar.
Ya kita tidak berjaya mengambil alih kerajaan tetapi mengambil alih
dengan cara yang kotor dan curang juga tidak menyenangkan.
Soal kerajaan perpaduan tidak berbangkit sama sekali. Orang
membicarakan, jadi bagi saya yang perlu ada adalah muafakat untuk
bersetuju untuk beberapa dasar yang sama. Ini yang kita suarakan. Saya
suarakan ini sejak 2008. Saya masih ingat ucapan pertama saya selaku
ketua pembangkang adalah menyuarakan supaya diadakan dialog berterusan
untuk isu dasar, ekonomi, pencegahan jenayah dan sebagainya kerana ini
amat diperlukan.
Saya tidak faham kenapa pimpinan Umno boleh hidup dalam keselesaan dan
merasakan semuanya baik tetapi angka berada di sebaliknya.
Saya juga lihat ada yang mentafsirkan ini fatiq atau seolah-olah kita sudah keletihan. Bagi saya ini tidak berbangkit.
The Malaysian Insider: Apa perkembangan dalam Pakatan Rakyat sekarang? Adakah Datuk Seri puas hati dengan apa yang ada?
Anwar: Ada pandangan yang menyatakan, setelah selesai pilihan raya,
Pakatan harus melonjak jangan nampak terlalu tenang. Saya setuju, kita
harus tingkatkan kerjasama. Ada pandangan menyatakan DAP selesa kerana
sokongan Cina kuat, PAS harus tumpukan kepada soal pengundi Melayu. Bagi
saya, ini semua tidak mempersulitkan atau menghalang kerjasama ini
tetapi muafakat di kalangan Pakatan Rakyat itu satu yang sangat kritikal
bukan sahaja kepada Pakatan Rakyat tetapi juga kepada negara.
The Malaysian Insider: Tahun depan bakal di adakan persempadanan kawasan pilihan raya. Apa pandangan Datuk Seri mengenainya?
Anwar: Kita menentang keras kerana tidak wajar SPR (Suruhanjaya Pilihan
Raya) yang curang dengan rekod kotor dan jijik itu diamanahkan untuk
melakukan sesuatu perubahan besar. Tidak munasabah dan kita akan tentang
keras dan kita beri ingatan jangan sekali-kali mengadakan persempadanan
ini oleh SPR yang ada.
Bukan soal dua pertiga tetapi soal kredibiliti SPR itu sendiri yang
mesti diselesaikan. Soal pendaftar undi pun tidak berjaya diselesaikan
lagi sampai sekarang. Selesaikan itu dahulu.
Penyelesaian ini tidak boleh selesai dengan penukaran setiausaha yang
bersara diganti dengan yang baru tetapi penukaran orang kanan mereka.
Sudah-sudahlah kepada yang berkhidmat, terima kasihlah. Bagilah kepada
mereka pingat dan ganjaran kerana mereka berjasa kepada Umno, bagilah.
Tetapi jangan korbankan prinsip kebebasan dan ketelusan ini. ~the malaysian insider
No comments:
Post a Comment