Perjuangan melawan ISA tetap berterusan
Kenyataan Akhbar: 16 September 2009
Lima Tahanan ISA Bebas Bersyarat Setelah 2 – 8 tahun Dizalimi
1. Semalam, 15 September 2009, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Hishammuddin Hussein mengumumkan seramai 5 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan. Menurutnya, pembebasan dibuat setelah beliau berpuashati bahawa semua tahanan berkenaan telah menunjukkan respons pemulihan yang positif dan telah melahirkan kesedaran dan keinsafan atas tindakan mereka terdahulu. Katanya lagi, beliaulah yang mengharapkan sangat pembebasan tersebut dapat dilakukan sebelum meraikan Hari Raya supaya tahanan dapat bersama dengan sanak saudara dalam Hari Raya tahun ini.
2. Lima tahanan tersebut yang dituduh sebagai anggota Jemaah Islamiah ialah Mat Sah Mohd Satray, Dr Abdullah Daud, Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Mohd Kamil Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah. Mat Sah Mohd Satray dan Dr Abdullah Daud ditahan sejak 2002 manakala 3 lagi ditahan sejak Mei 2007. Kelima-lima dibebaskan secara bersyarat di bawah Akta Kediaman Terhad atau Restricted Residence Act 1933 (RRA). Ini bermakna mereka tidak bebas sepenuhnya dan perlu melapor kepada balai polis dalam daerah mereka setiap minggu di samping setiap perjalanan keluar daerah perlu mendapat keizinan pihak polis.
3. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyambut baik pembebasan lima tahanan berkenaan. Sudah tentu pembebasan tersebut disambut gembira dan penuh kesyukuran oleh isteri, anak-anak dan keluarga tahanan yang telah terpaksa menanggung kesukaran sekian lama. GMI tumpang gembira bersama mereka terutama buat Puan Norlaila Othman, isteri kepada Mat Sah Mohd Satray. Puan Norlaila merupakan Ahli Jawatankuasa GMI yang telah berjuang dalam kempen anti-ISA dengan tabah dan gigih.
4. GMI percaya pembebasan ini adalah hasil usaha kempen yang gigih dan berterusan selama ini bagi menuntut semua tahanan dibebaskan dan ISA dimansuhkan. Mesej yang lantang dan jelas telah dilontarkan oleh puluhan ribu rakyat Malaysia ketika Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 yang lalu. Sudah tentu Kerajaan tidak akan mengakui terpaksa akur dengan desakan ini, namun yang pasti desakan berkenaan bukan retorik dan bukan emosi seperti insiden kepala lembu. Ia menuntut kepada perkara asas iaitu hak keadilan dan kebebasan untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan ia disandarkan kepada sejarah kezaliman dan penyeksaan yang nyata lagi terbukti.
5. Sebab itulah, walaupun GMI menyambut baik pembebasan tersebut, namun persoalan yang sering ditanya ialah mengapakah mereka ditahan pada asalnya? Di mana buktinya? Apakah yang telah mereka lakukan sehingga terpaksa menjalani hukuman tanpa bicara dan tanpa pembelaan selama dua hingga lapan tahun dan sekarang mereka telah insaf dan sedar? Apakah benar seorang Menteri boleh membebaskan seseorang atas budi-bicaranya samada sebelum Hari Raya Eidil Fitri, Hari Raya Haji, Deepavali atau apa-apa peristiwa termasuk pilihan raya?
6. Jika diperhatikan dengan teliti, terlampau banyak perkara yang arbitrari, subjektif dan ragu-ragu dalam kenyataan Menteri Dalam Negeri yang berkait rapat dengan persoalan yang ditimbulkan. Semuanya atas kuasa Menteri yang berpandukan laporan sebelah pihak daripada kem dan polis. Tetapi apa yang lebih penting ditekankan, nasib tahanan… penahanannya dan pembebasannya bergantung atas iklim yang penuh arbitrari, subjektif dan keraguan. Di mana keadilannya? Di mana jaminan kebebasan dinaungi oleh Perlembagaan apabila ISA dengan selamba menghina jaminan tersebut. Apakah tidak boleh seseorang tahanan itu menuntut hak mereka sekarang? Menuntut hak dan pampasan kerana ditahan tanpa diberi peluang membela diri? Lapan tahun hukuman terhadap sesuatu tuduhan yang penuh keraguan bukan satu tempoh yang pendek!
7. GMI juga ingin menarik perhatian terhadap pembebasan terpilih yang sering dilakukan. Menurut Hishammuddin, terdapat seramai 9 orang lagi tahanan yang masih ditahan di bawah ISA. Salah seorang daripada mereka, Shamsuddin Sulaiman, telah ditahan hampir 8 tahun tetapi tidak pula dibebaskan. Mengapa? Menurut Hishammuddin lagi, daripada 9 orang tersebut, 4 adalah warga Malaysia dan baki 5 orang lagi merupakan warga asing dari Bangladesh, Pakistan, Thailand, Indonesia dan Singapura. Mereka dituduh dengan pelbagai dakwaan sama ada militan, pengganas atau pemalsuan dokumen.
8. Persoalan yang paling asas dalam mana-mana sistem yang mengamalkan kedaulatan undang-undang atau ‘rule of law’ seperti yang didakwa diamalkan di Malaysia ialah di manakah buktinya? Selagi itu tiada dan tertuduh tidak diberi ruang pembelaan di bawah ISA, maka ketidakadilan telah berlaku. Undang-undang zalim mencemar kedaulatan undang-undang. Ia melanggar kemuliaan insan dan mencabul hak asasi tetapi terus digunakan secara sembarangan terhadap mereka yang disyakki mengancam keselamatan negara atau lebih tepat lagi mengancam keselamatan elit pemerintah.
9. GMI memandang berat ketidakadilan, pencabulan hak asasi dan pelanggaran hak kebebasan di bawah ISA. Walaupun pembebasan tahanan dilakukan dan pindaan dijanji akan dilakukan kerajaan, namun dua faktor paling utama yang tertinggal dan tidak dinyatakan secara tersurat oleh Kerajaan tetap tidak dianjak. Faktor-faktor tersebut ialah tahan tanpa bicara dan kuasa arbitrari polis dan Menteri. Selagi wujud faktor-faktor ini, maka selagi itulah ISA itu tetap ISA dan tetap zalim walaupun apa pindaan akhirnya dilakukan. Selagi itulah juga, nasib mangsa ISA tidak menentu dan budaya kegerunan terus kekal.
10. Atas dasar tersebut, GMI menggesa Kerajaan untuk tidak hanya pinda ISA tetapi memansuhkannya dan membebaskan semua tahanan. Jika benar ”rakyat didahulukan”, hak, keadilan dan kepentingan rakyat perlu diutamakan khususnya dalam menebus segala dosa dan kezaliman dahulu dalam bulan Ramadan Al-Mubarak!
Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta!
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi GMI
No comments:
Post a Comment