Saturday, August 31, 2013
Jangan anggap kezaliman Saddam adalah dari ajaran Islam hanya kerana memusuhi Syiah
Terdapat
kecenderungan yang salah dalam sikap sekelompok manusia; iaitu apabila sesuatu
pihak dimusuhi maka semua pihak yang turut berperang dengan musuh tersebut
adalah benar.
Sebab
itu tidak pelik jika terdapat pemimpin politik dari PAS, KeADILan atau DAP yang
menyertai Umno atau parti komponen BN, atau sekurang-kurangnya 'bersama' dengan
mereka selepas individu berkenaan berkonfrontasi dengan parti sendiri. Walhal
wadah yang disertai (atau bersama) itu
adalah pihak yang ditentang habis-habisan sebelum ini.
Tengku
Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam pernah saling berseteru kerana merebut
jawatan Timbalan Presiden Umno. Apabila Musa pula tiba-tiba bermusuh dengan Tun
Dr. Mahathir atas beberapa sebab, maka beliau boleh bersama dengan Tengku
Razaleigh untuk menjatuhkan Mahathir. Ia sekadar satu contoh. Banyak contoh
lain dalam pengalaman politik Malaysia.
Cinta
itu buta. Tapi bermusuh pun jadikan seseorang buta sehingga nampak semua seteru
musuh adalah pembawa kebenaran. Agak terkejut juga apabila tiba-tiba hari ini
bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein menjadi hero pujaan pihak yang menamakan
diri mereka gerakan anti Syiah, kerana kejayaan membunuh orang-orang syiah
ketika berkuasa. Kumpulan ini bergerak dengan agresif dan meluas. Mereka bukan
sahaja memerangi ajaran syiah habis-habisan bahkan memerangi sesiapa sahaja
yang tidak menyesatkan semua syiah.
Barang dijauhkan Allah saya cenderung hati terhadap Syiah apatahlagi menyokong Syiah, tetapi hanya mahu membetulkan fakta, sekadar mahu membetulkan catatan sejarah moden yang dipesongkan hingga menganggap kezaliman Saddam sebagai tuntutan Islam. Saya
tidak berminat untuk mengulas isu syiah berdasarkan aqidah kerana sedar tidak
berkemampuan dari segi ilmu. Seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang biarlah ianya menjadi perbahasan orang-orang berilmu, bukan antara Sunni
yang jahil dan syiah yang jahil. Tapi
Kononnya
umat Islam tersalah faham terhadap Saddam kerana putarbelit
media yang dikuasai Yahudi dan Amerika Syarikat. Saddam dikatakan sudah nampak ancaman Syiah, maka beliau ambil tindakan
menghapuskan etnik syiah bertepatan dengan hadis nabi yang diriwayatkan dari
Saidina Ali, supaya membunuh golongan rafidhah (ditafsirkan sebagai syiah).
Catatan sejarah moden yang tidak boleh dipadam ialah
Saddam telah melakukan penghapusan etnik (disifatkan sebagai kewajipan
menghapuskan golongan rafidhah?) menggunakan senjata kimia atau gas beracun.
Peristiwa yang berlaku pada 18 Mac 1988 di Halabja, Selatan Kurdistan. Serangan
telah membunuh di antara 3,200 dan 5,000 orang, dan mencederakan kira-kira
7,000 hingga 10,000 lebih, kebanyakan mereka orang awam terdiri dari kanak-kanak,
wanita dan orang tua. Beribu-ribu lagi meninggal dunia akibat komplikasi,
penyakit, dan kecacatan kelahiran pada tahun-tahun selepas kejadian. Adakah
kezaliman regim Saddam ini adalah dari ajaran Islam sehingga beliau diangkat sebagai wira Islam dan Sunni?
Oleh kerana Iran pada masa itu adalah musuh nombor satu
Amerika Syarikat, maka sekutu Israel itu menuduh serangan senjata kimia itu
dibuat oleh Iran, di samping media-media utama antarabangsa yang menjadi alat
Barat tidak menyiarkan peristiwa Halabja secara besar-besaran kerana boleh
mencemar Iraq. (Iraq pada masa itu adalah sekutu Amerika).
Namun penyiasatan oleh masyarakat antarabangsa diketuai
oleh Dr Jean Pascal Zanders, Ketua Projek Kimia dan Peperangan Biologi di
Institut Penyelidikan Keamanan, Stockholm pada tahun 2007 membuktikan sejelas-jelasnya
bahawa kezaliman itu dilakukan oleh regim Saddam.
Isu kedua selepas pembunuhan kejam itu ialah tafsiran
hadis berhubung kewajipan 'membunuh orang rafidhah'. Adakah tindakan serakus itu (termasuk membunuh wanita dan
kanak-kanak) menepati sebuah hadis yang menyeru membunuh orang yang dianggap
rafidhah dan ulamak besar mana yang mentafsirkan hadis tersebut secara
wewenangan begitu?
Kita khuatir jika gerakan melancar perseteruan sesama
ummah tidak dibendung atau disedarkan perihal kegilaan mereka, maka umat Islam
akan terjerumus lagi dalam malapetaka kehancuran. Musuh sebenar umat Islam
iaitu Amerika Syarikat, Zionis serta sekutu mereka hampir dilupakan akibat
keghairahan polemik mazhab yang telah bermula sejak lebih 1000 tahun itu.Umat
Islam sudah cukup menderita dengan perbalahan dan penindasan. Usah lagi dicurah
garam terhadap luka yang parah itu.
No comments:
Post a Comment